Guru J-qaf sebagai model guru yang mempunyai ciri murabbi, muaddib, murshid, muallim dan mudarris dalam kehidupan profesyennya di sekolah dan dalam masyarakat.
Pendidik digelar Mu'allim, Mudarris, Mursyid,
Muaddib dan sebagainya, manakala kalimah Murabbi itu
sendiri diambil dari kalimah "Rabb" yang bermaksud didik atau lebih
tepat lagi Tarbiah. Murabbi dalam Islam membawa maksud yang luas melebihi tahap muallim. Konsep Murabbi merujuk
kepada pendidik yang bukan sahaja mengajarkan sesuatu ilmu tetapi dalam masa
yang sama cuba mendidik rohani, jasmani, fizikal dan mental anak didiknya untuk
menghayati dan mengamalkan ilmu yang telah dipelajari. Justeru, Murabbi lebih menumpukan penghayatan sesuatu
ilmu, sekaligus membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya. Oleh
itu, tugas “Muallim” banyak berlegar di “akal” tetapi tugas Murabbi berlegar
di “hati”.
Manakala,
Muaddib dan Mursyid terdapat sedikit ciri-ciri yang dikongsi
bersama Murabbi walaupun tetap tidak dapat menyamai peranan Murabbi
yang agak luas. Misi seorang Murabbi adalah untuk meneruskan tugas yang
ditinggalkan oleh Rasulullah Sollahu Alaihi Wasallam dalam mentarbiah
manusia agar melahirkan insan yang kamil dari segi intelektual, fizikal dan spiritual
yang menjadi asas kepada kehidupan mereka. Murabbi juga bersifat Qudwah
yang menjadi contoh suri teladan buat anak didik. Ia juga merupakan
tanggungjawab seorang manusia dalam untuk mengamalkan tarbiah dan menjadi
Murabbi biarpun kepada diri mereka sendiri.
Antara
ciri-ciri seorang Murabbi pula adalah seperti: Mempunyai matlamat yang
jelas, bersedia untuk berkorban, ikhlas dan mempunyai hati yang suci, seimbang
(not extremist), tindakan yang serta merta (automatic movement), serta bersedia
untuk menyumbang dalam apa jua keadaan. Secara ringkasnya peranan seorang
Murabbi itu amat luas, tidak hanya sekadar mendidik, tetapi memberi segalanya
kepada insan yang didik termasuklah berkongsi hati dan perasaan dalam
memastikan amanah terbiah yang diamanahkan oleh Rasulullah disampaikan
sebaiknya.
Justeru
itu, guru j-QAF sebagai seorang pendidik muda yang punya pengalaman dan ilmu
diberikan ketabahan dan kekuatan dalam meneruskan misi yang ditinggalkan dengan
baik, biarpun tidak sehebat seorang Murabbi, akan tetapi akan perbaiki
kelemahan serta penuhkan dengan mendidik generasi muda Islam yang baru. Selain
itu, sebagai murabbi, muaddib, murshid, muallim dan mudarris guru j-QAF
perlu mempunyai sifat-sifat pendidik dan tahu tanggungjawab yang telah
diamanahkan dibahunya.
Sifat
yang perlu ada pada seorang guru j-QAF
1. Sukakan kanak-kanak
Sifat
terpenting yang perlu ada di dalam sanubari guru-guru j-QAF ialah suka kepada
kanak-kanak.Ini kerana mereka akan ditempatkan untuk mengajar murid-murid tahun
satu hingga enam dan tidak dapat lari dari tugas mengasuh dan membimbing
anak-anak kecil yang begitu membara keinginan untuk menimba ilmunya. Golongan
ini agak aktif sesuai dengan perkembangan dirinya
2. Penyabar
Sesuatu
yang amat penting guru j-QAF perlu memiliki sifat sabar yang tinggi.Ini kerana
mereka akan berhadapan dengan seribu satu kerenah kanak-kanak yang pelbagai
personaliti dan pembawakan.Ada yang digelar ’hyper aktif’, sedikit nakal, pendiam,
degil, pemalu tidak kurang juga yang mempunyai masalah pembelajaran.Namun
sebagai kanak-kanak usia sedemikian, adalah normal mereka memiliki peribadi
tersebut , Cuma terserahlah kepada guru-guru tersebut untuk membentuk peribadi
mereka sehingga menjadi anak-anak soleh dan soleh
3. Perihatin
Setiap
anak-anak di peringkat sekolah rendah terutamanya di tahun satu dan dua akan
menunjukkan perubahan tingkah laku berdasarkan emosi dan persekitaran yang
berbeza.Sebagai seorang guru j-QAF mereka harus cepat memahami dan mengesan
serta perihatin terhadap sebarang perubahan yang berlaku ke atas emosi dan
tingkah laku anak murid untuk tindakan yang sepatutnya.
4. Kreatif dan berinovasi
Perubahan
keadaan persekitaran di mana anak-anak terdedah dengan keadaan yang pelbagai
memerlukan guru j-QAF yang kreatif dalam mengendalikan proses pengajaran dan
pembelajaran.Penggunaan bahan dan kaedah pengajaran yang sama akan menyebabkan
kanak-kanak akan berasa cepat bosan dan akhirnya tidak berminat untuk
belajar.Gunakan kreativiti anda menggunakan pelbagai sumber dan kaedah seperti
teknologi maklumat, internet, akhbar di dalam darjah untuk melaksanakan
pengajaran yang menyeronokkan.
5. Bijak menarik minat
Guru
j-QAF harus memahami keperluan dan psikologi kanak-kanak untuk menjadi guru
yang cemerlang. Mereka harus memahami bahawa kanak-kanak suka kepada
nyanyian, warna-warni, bunyi serta sumber yang pelbagai.Oleh itu guru j-QAF
harus menerapkan unsur-unsur ini supaya pengajaran yang dirancang berjalan
seiring dengan keperluan kanak-kanak yang memerlukan rangsangan deria.
Bidang
Tugas dan Tanggungjawab Guru j-QAF
1. Kurikulum
Guru
j-QAF harus melaksanakan sepenuhnya model-model P&P j-QAF iaitu Model
Pemulihan Jawi, Enam Bulan Khatam Al-Qur’an, Tasmi’ Al-Qur’an, Bahasa Arab
Komunikasi dan model fardhu ain seperti Kem Bestari Solat.Selain itu
mereka perlu menjalankan sesi pengajaran Al-Qur’an , jawi dan Ulum Syariyyah
bagi membantu guru-guru Pendidikan Islam sedia ada.
2. Tanggungjawab lain
Memandangkan
guru-guru j-QAF merupakan sebahagian daripada warga akademik sekolah, maka
mereka perlu melaksanakan tugas-tugas kokurikulum seperti menjadi pembantu
pembimbing kelab dan persatuan atau kelab beruniform, melatih peserta-peserta
pertandingan nasyid, tilawah Al-Qur’an dan hafazan bagi menyertai pertandingan
yang di anjurkan oleh pihak Pejabat Pelajaran Daerah dan sebagainya.
3. Bersama masyarakat
Guru
j-QAF harus terlibat dengan program-program kemasyarakatan sebagai sumbangan
kepada masyarakat.Guru j-QAF yang baik adalah mereka yang sentiasa dekat dengan
program keilmuan di masjid-masjid dan surau serta aktif di dalam program ramah
mesra bersama komuniti setempat
Peluang
Peningkatan kerjaya
Setelah
mendapat pengesahan jawatan , guru j-QAF atau jawatan hakikinya iaitu Pegawai
Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) akan mendapat ruang peningkatan kerjaya
sama seperti PPPS yang lain.Namun demikkian ianya perlu melepasi syarat
ikhtisas yang ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya
Perkhidmatan Pendidikan. Di bidang Perkhidmatan Perguruan , mereka ini
berpeluang untuk menjadi pensyarah institut pendidikan guru setelah melepasi
syarat-syarat yang ditetapkan. Di bidang pentadbiran pendidikan , kini wujud
beberapa jawatan yang dilihat menguruskan pentadbiran dan hal ehwal program dan
guru j-QAF seperti Penolong Pengarah j-QAF di peringkat Jabatan Pelajaran
Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia khususnya di Sektor Pendidikan Islam
dan Moral.Jawatan seperti di atas sebenarnya mungkin membuka peluang guru-guru
j-QAF untuk mengembangkan kerjaya di peringkat pentadbiran pendidikan suatu
hari nanti, namun ianya bergantung kepada keperluan dan keadaan. Selain itu, di
sekolah turut mempunyai peluang pengembangan kerjaya di mana kini sudah wujud
jawatan guru cemerlang dan pengetua cemerlang bagi insan pendidik yang
menunjukkan kebolehan dan prestasi yang membanggakan.Penghargaan seperti ini
membuktikan bahawa kerjaya sebagai guru ini bukan lagi dilihat sebagai kerjaya
kelas kedua.Malahan , kita melihat ribuan permohonan dihantar kepada pihak Kementerian
Pelajaran bagi mengisi kekosongan jawatan guru-guru berijazah melalui kursus
Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) yang ditawarkan setiap tahun.
Namun demikian, tanyalah kepada
guru-guru j-QAF yang sudah menjawat jawatan ini, mereka mengakui bahawa tugas
dan amanah ini merupakan suatu tanggungjawab yang begitu besar nilainya
iaitu untuk melahirkan insan yang benar-benar memahami dan mengamalkan
ilmu-ilmu Islam serta kental imannya buat menghadapi pancaroba duniawi yang
tidak terkira hebatnya terutama bagi anak-anak muda masakini.andai kerjaya ini
lah yang dipilih berjanjilah kepada diri sendiri untuk sama –sama menaikkan
martabat Islam melalui pendidikan dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk
melahirkan modal insan yang beriman, bertaqwa dan beramal.
No comments:
Post a Comment